[gview file=”https://dvcai.utm.my/wp-content/uploads/sites/19/2020/05/RACE-GE-Zain-shared-to-students-1.pdf”]

Kadar pengangguran global dijangka mengalami peningkatan yang mendadak kesan daripada pandemik COVID-19, dan perkembangan yang sama turut dijangkakan di Malaysia. Persaingan sengit akibat perubahan drastik di dalam pasaran pekerjaan akan menyebabkan peluang pekerjaan semakin kompetitif.

Justeru, adalah amat penting bagi graduan dan bakal graduan untuk menyiapkan diri dari segi keperluan dan kemahiran terkini dalam mendepani ‘norma baharu’ dunia pasca COVID-19.

Sehubungan itu, pada 14 Mei 2020, buat julung kalinya satu program bicarawara khas yang bertajuk ‘‘Persediaan Menghadapi Pasca COVID 19 – Krisis Pengangguran Siswazah’’ telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pascasiswazah Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (PGSS SCEE) dan Persatuan Pelajar Pascasiswazah Sekolah Kejuruteraan Awam (PGSS SKA) dengan kerjasama Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi UTM (UTM XCITE) dan Institut Graduan Tersedia Kehadapan (UTM iLeaGue).

Panel khas telah diundang bagi membincangkan tentang topik tersebut iaitu Y.Brs. Prof. Ir. Ts. Dr. Zainuddin Bin Abd. Manan (Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa) dan Prof. Madya Dr Mohd Zaidi Abd Rozan yang menerajui UTMXCITE.

Program bicarawara ini telah dikendalikan menerusi FB live di UTM iLeaGue dan platform Webex dan dikendalikan oleh Saudari Liew Wen Ching iaitu Timbalan Presiden, Persatuan Pelajar Pascasiswazah UTM selaku moderator.

Antara intipati forum yang dikongsikan oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Zainuddin ialah langkah dan inisiatif yang diketengahkan UTM dalam konteks persediaan pelajar ke arah pengangguran sifar.

Berdasarkan statistik kebolehpasaran graduan yang terkini, graduan UTM bagi lepasan sarjana muda dan pascasiswazah pada tahun 2019 telah mencatatkan 94.78 peratus kebolehpasaran, iaitu antara yang tertinggi dalam kalangan Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia dan juga merupakan rekod tertinggi bagi UTM.

Lantaran itu, bagi mengekalkan prestasi cemerlang tersebut, UTM telah menggariskan pelbagai inisiatif lebih-lebih lagi dalam prospek semasa yang kian mencabar. UTM telah memperkenalkan langkah khusus yang dikenali sebagai ‘‘Rising  Above COVID Challenges for Graduate Employability (RACE GE 2020)’’.

Komponen pertama bagi RACE GE 2020 tersebut adalah memastikan graduan dan bakal graduan menjadi sebahagian dari UTM Global Network melalui rangkaian iLeaGue, Pusat Kerjaya UTM (UTMCC), UTMXCITE, Centre For Community & Industry Netwok (CCIN), Research Management Centre (RMC), Alumni dan juga rangkaian global termasuk industri di seluruh dunia.

Ini dapat dilaksanakan dengan pendaftaran para graduan melalui borang SKPG 1 semasa tamat pengajian dan seterusnya mengisi borang SKPG 2 bagi membolehkan siswazah UTM mendaftar menjadi  sebahagian dari UTM Network. Graduan juga dinasihatkan agar mendaftar dengan Alumni UTM agar mudah meraih peluang-peluang pekerjaan.

Menurut beliau, komponen dua adalah melibatkan langkah intervensi proaktif agar pelajar menjadi ‘lebih rakus’ dalam menimba ilmu (voracious learner) dengan mengambil semua peluang yang ada untuk belajar. Ini kerana, berdasarkan kajian dari Dell Technology, 85 peratus jenis pekerjaan menjelang 2030 sebenarnya masih belum wujud dan mereka yang berjaya adalah mereka yang sentiasa belajar secara berterusan.

Langkah ketiga adalah dengan cara menjadi lebih global dan lebih trampil termasuk dengan menyertai persatuan-persatuan di HEP UTM, Persatuan Pelajar Pasca Siswawah selain dari pertubuhan luar seperti The Institution Of Engineers, Malaysia (IEM) dan Academy of Sciences Malaysia (ASM).

Pelajar juga perlu lebih inovatif seperti mahir menyediakan resume dalam bentuk video selain mempunyai dan mengemasiki akaun rangkaian profesional seperti Linkedin.

Kenampakan (visibility) akan menjadi lebih terserlah sekiranya dapat berkongsi kemahiran, pengetahuan dan juga ‘best practices’ dalam pelbagai platform seperti seminar di atas talian agar dapat menyerlahkan potensi diri di peringkat tempatan dan global. 

Seterusnya, Prof. Ir. Ts. Dr. Zainuddin turut berkongsi komponen yang keempat iaitu memperkasakan pengalaman praktikal. Beliau menegaskan bahawa pelajar seharusnya mengambil peluang yang sebaiknya semasa menjalani latihan industri seperti mencari jalan penyelesaian bagi masalah-masalah di industri tersebut. Dengan cara ini, pelajar akan mendapat perhatian majikan. Ini kerana, berdasarkan rekod, ramai pelajar ditawarkan pekerjaan sejurus menamatkan latihan industry yang berstruktur iaitu yang melibatkan penyelesaian masalah di industri.

Di UTM sendiri, projek Universiti Industry Innovation Exchange (UNIX) telah diperkenalkan setelah transformasi menyeluruh program ijazah yang melibatkan kerjasama erat dengan lebih banyak rakan industri. Malahan, melalui program UNIX, latihan industri kedua juga boleh ditawarkan oleh pihak industri.

Komponen yang terakhir yang dikongsikan oleh beliau ialah kepentingan pelajar menyiapkan diri dengan kemahiran dalam melakukan kajian dan juga penglibatan dalam aspek inovasi. Ini termasuklah dengan menyertai pertandingan dan persidangan seperti Grand Challenge 2020, UG Research Conference 4.0, persidangan pasca siswazah, kursus berstruktur dan juga Three Minutes Thesis dan Three Minute FYP Competition.

Penglibatan sebegini seharusnya dikongsikan melalui akaun Linkedin agar menjadi paparan di mata global. Lantaran itu, dengan pelaksanaan kelima-lima komponen dalam inisiatif utama UTM tersebut, tahap kebolehpasaran graduan dijangka akan menjadi jauh lebih tinggi.

 Sesi bicarawara tersebut diteruskan dengan panel yang kedua iaitu Prof. Madya Dr Mohd Zaidi dari UTMXCITE yang membicarakan tentang relevan dan kepentingan keusahawan dalam era pasca COVID19.

Ini kerana UTMXCITE ditubuhkan untuk memberi fokus dalam penyediaan infrasktruktur dan platform kepada pembangunan pelajar melalui program-program inovatif dan keusahawanan. Ini sejajar dengan empat nilai utama bagi UTMXCITE iaitu CohesivenessPassionConnect dan Limitless.

Dalam perbincangan beliau, corong strategik bagi UTMXCITE yang dikenali sebagai 5A Stream yang merangkumi Kesedaran (Awareness), Memperoleh (Acquire), Mengaktifkan (Activate), Memecut (Accelerate) dan Mencapai (Attain) melalui teras keusahawan untuk menghasilkan usahawan yang berwibawa dan berdaya saing turut dikongsikan.

Beliau turut menerangkan program-program yang telah dijalankan oleh UTMXCITE seperti Nescafe UTM, TEDxUTM, YSEALI, AIESEC, LEADER-PRENEUR,  MoonsonSIM dan juga beberapa program unik kerjasama rapat dengan rakan industri seperi Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), START Malaysia, serta banyak lagi.

Selain itu, program berteraskan kurikulum perdagangan digital yang diterapkan di dalam kursus Pengenalan bagi Keusahawanan (UHAK/UHAS1032) untuk mendedahkan serta memberikan pengalaman kepada pelajar terhadap perniagaan atas talian turut dijalankan atas inisiatif UTMXCITE. Sebagai rekod, walaupun kurikulum perdagangan digital baru sahaja dilaksanakan secara menyeluruh bermula semester 1, sesi 2019/2020, jumlah jualan dari para pelajar amatlah memberangsangkan melebihi setengah juta Ringgit Malaysia.Ini membuktikan bahawa pelajar UTM amat mempunyai bakat dalam menjalankan perniagaan.

Antara program lain yang berimpak adalah Pameran Pemikiran Keusahawanan Lestari (SEMS) yang telah dijalankan beberapa siri. Terkini, SEMS 3.0 dijalankan sepenuhnya di atas talian. SEMS adalah inisiatif berkonsepkan keterangkuman atau inclusiveness yang melibatkan semua pelajar di UTM melalui kursus umum universiti mulai semester 2, 2018/2019.

Pada 2019, UTM berjaya mendedahkan lebih 21,916 pelajar kepada program-program melibatkan keusahawan dan lebih menarik, 428 pelajar UTM telah berdaftar pemula niaga atau Start-up.

Lantaran itu, UTM telah terpilih antara kelompok empat terbaik bagi Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) walaupun hanya baru diperkenalkan serta telah mendapat Anugerah Best Ecosystem Builder Team 2019 dari Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC).

Sepanjang tahun 2020 pelbagai program-program telah dirancang dan dilaksanakan oleh usahawan pelajar walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan seperti UTMShield, Coffee Talk, MUSHCO dan sebagainya. Lebih menarik, UTMXCITE turut menawarkan Program Dropship Mentoring di atas talian dengan penglibatan dari syarikat-syarikat tempatan. Ini termasuklah syarikat Hiliran UTM (UTM Spin-Offs) seperti Dermags dan Naturel Kiss.

Selain itu, melalui kerjasama dengan MTDC, UTMXCITE turut menawarkan pinjaman dana tanpa faedah dengan nilai di antara RM 500 – RM 3,000 bagi permulaan perniagaan dengan pakej yang menarik menerusi Micro Credit Facilities.

Dalam masa terdekat juga, UTM akan melancarkan penawaran mikro kredit dengan nilai pinjaman yang lebih besar dipanggil Tabung Endowment Pembangunan Usahawan Pelajar. Ini adalah usaha UTM dalam memberikan nilai (Value Proposition) bagi memastikan pelajar dapat merekabentuk dan menjalankan perniagaan mereka dengan lebih berkesan.

Sejajar dengan inisiatif RACE GE 2020, UTMXCITE turut mengadakan program khas iaitu UTM U-BiG (Usahawan Bakal Graduan) yang dijalankan dengan kerjasama UTM Alumni dan UTMiLeaGue selain dari program Digital Entrepreneurial Skills Program (Digital E).

Prof. Madya Dr Mohd Zaidi turut berkongsi sebuah buku, Future Shock yang dikarang oleh Alvin Toffler pada 1970. Walaupun beberapa dekad telah berlalu, buku tersebut masih mendapat perhatian. Pengarang buku tersebut menekankan konsep learnunlearn, and relearn yang relevan dengan situasi pasca pandemik yang memerlukan pelajar belajar dan mempelajari semula ilmu-ilmu yang bersesuaian.

Sebelum mengakhiri forum, terdapat sesi perbincangan antara ahli panel dengan peserta yang bertanya soalan melalui aplikasi WeBex dan Facebook. Apabila ditanya mengenai kemahiran kritikal yang perlu diperolehi dalam menjalani norma baharu, Prof. Ir. Ts. Dr. Zainuddin meringkaskannya kemahiran penting dari sudut pandang majikan adalah 5C iaitu Continous LearnerCritical ThinkingCreativityCommunication dan Collaboration and Networking.

Dalam konteks keusahawan pula, Prof. Madya Dr Mohd Zaidi berpendapat belajar dan penguasaan kemahiran adalah sesuatu yang berbeza. Oleh itu, pelajar seharusnya berani menceburi bidang perniagaan agar dapat mempraktikkan ilmu dan mampu merekabentuk dan menguji model perniagaan yang menarik. Beliau juga menasihati pelajar untuk sentiasa mengoptimakan penggunaan masa di menara gading dan mengganggap universiti sebagai Living Lab.

Pelajar turut melontarkan soalan berkenaan proses memohon kerja yang mencabar. Prof. Madya Dr Mohd Zaidi berpendapat bahawa pelajar boleh menambah kemahiran tambahan sewaktu dalam proses memohon kerja.

Tambah beliau lagi, rangkaian peribadi (network) juga boleh membantu kebolehpasaran selain bersiap sedia dengan resume yang menarik seperti menggunakan video, menyediakan portfolio dan kompilasi projek bagi menambah nilai yang boleh ditawarkan kepada majikan. Menurut Prof. Ir. Ts. Dr. Zainuddin, graduan juga tidak boleh terlalu memilih pekerjaan dan perlu berlapang dada dengan sebarang gaji yang ditawarkan dalam proses belajar sambil menceburi bidang pekerjaan dan menyesuaikan diri di alam perkerjaan.

Dengan pandangan dan perkongsian yang diberikan oleh barisan ahli panel, Saudari Liew Wen Ching merumuskan bahawa menjadi tanggungjawab pelajar untuk sentiasa maklum dengan perkembangan semasa dan membuat tindakan inisiatif agar tidak ketinggalan.

Secara tuntasnya, kesan pandemik ini memberi tamparan ‘normal baharu’ yang hebat kepada graduan dan bakal untuk ditangani dalam tempoh waktu yang terdekat. Pun begitu, suntikan inisiatif oleh UTM dan tindakan bijak dari pelajar sendiri mampu mengurangkan kesan bagi pelajar semasa membina tapak dalam dunia pekerjaan.

Forum ini merupakan satu sesi pengkayaan ilmu bagi melonjakkan kebolehpasaran pelajar dan secara tidak langsung pelajar dapat mengetahui ilmu baru. Program bicarawara yang telah berlangsung selama 1 jam 30 minit itu telah mendapat reaksi positif dari kalangan pelajar dan staf UTM.

Posted by Institute for Life-Ready Graduate on Rabu, 13 Mei 2020

Worry about the future of your career after COVID-19? Do not know how to build your career in the age of COVID-19 and beyond? Worry no more!!

In collaboration with SPS UTM, UTM XCITE and UTM iLEAGUE, PGSS-SCEE together with PGSS-SKA are pleased to conduct a career path forum with our honourable speakers!

Title: Preparing for The Post COVID 19 Looming Crisis of Graduate Unemployment
🗓️Date: 14th May 2020 (Thursday)
⏰Time: 11.30am-1pm
Speakers:
1. Prof Ir Ts Dr Zainuddin (Deputy Vice Chancellor-Academic & International of UTM)
2. Associate Prof Dr Ramesh KS @Mohd Zaidi Abd Rozan (Director of UTM XCITE)
3. Liew Wen Ching ( Vice President of PGSS-UTM & President of PGSS-SCEE

All UTM students (especially PG & UG-Final Year Students) are welcome to join! Attendance will be recorded in UTMAcad.
Pre-registration link: https://forms.gle/KeP5uTjgjGnWX6z56

💻Participate online via Cisco Webex Meeting:
https://utm.webex.com/utm/j.php?MTID=mba86a00cee179901107a70d68aea73ab

💻📱Watch live telecast via FB live on UTMiLeague Page
https://www.facebook.com/UTMiLeaGue/